ad

Kes tikam di sekolah: Pelajar lelaki didakwa esok - Jabatan Peguam Negara

21 Okt 2025, 10:40 AM
Kes tikam di sekolah: Pelajar lelaki didakwa esok - Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Seorang pelajar lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok atas kesalahan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, AGC telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar perempuan itu.

“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap seorang pelajar lelaki yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Sehubungan itu, Jabatan ini memutuskan untuk mendakwa pelajar terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana kesalahan membunuh,” menurut kenyataan itu.

Pada 15 Okt lepas, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah agar remaja berusia 14 tahun itu yang juga pelajar di sekolah yang sama dengan mangsa, direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 14 Okt, pelajar perempuan itu ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali oleh pelajar lelaki itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati, punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.