SHAH ALAM, 8 JUN: Pengalaman mendengar suara seolah-olah ada individu memanggil namanya serta bunyi wisel ketika bersendirian di dalam hutan antara kisah yang dikongsikan Jaslinda Saludin, 49, selepas ditemui selamat petang kelmarin.
Perkara itu didedahkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah, 63, yang sempat bertemu dan berbual dengan wanita berkenaan.
Menurutnya, Jaslinda memaklumkan bahawa sepanjang tempoh kehilangan, dia beberapa kali terdengar suara seperti ada orang memanggil sehingga membuatkannya percaya terdapat individu lain berhampiran.
“Dia kata dia dengar macam ada orang panggil dan berasa gembira kerana menyangka ada orang di situ. Tetapi apabila dicari, tiada sesiapa.
“Dia juga dengar bunyi seperti wisel, namun tidak nampak sesiapa. Walaupun begitu, dia merasakan seolah-olah ada ramai orang di kawasan tersebut,” katanya seperti video tular di media sosial.
Mohd Asmadi berkata beliau berasa sebak apabila mendengar pengalaman yang dilalui wanita itu sepanjang berada di dalam hutan.

Katanya, berdasarkan perkongsian mangsa, Jaslinda dipercayai banyak bergerak di kawasan berhampiran sumber air ketika cuba meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh kehilangan.
Beliau memaklumkan, Jaslinda mungkin menyusuri laluan Sungai Air Tawar iaitu kira-kira 10 kilometer dari Kampung Lubuk Gaharu sebelum sampai ke kawasan kampung berkenaan.
Menurut beliau, laluan ke Gunung Batu Putih bukan asing bagi penduduk setempat dan kebiasaannya boleh dilalui dalam tempoh kira-kira tiga jam jika pendakian dimulakan pada waktu pagi.
"Kalau dari sini nak ke Gunung Batu Putih dah tak jauh dah. Boleh sampai dalam tempoh 3 jam.
“Kalau orang kampung, naik jam 8 pagi boleh sampai dalam jam 11. Bagi orang luar, keadaan tentulah berbeza, tambahan pula dalam keadaan lemah, perjalanan jadi perlahan,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan kemampuan Jaslinda bertahan selama lebih dua minggu di dalam hutan sebagai sesuatu yang luar biasa.
Kisah kehilangan wanita itu sebelum ditemui selamat selepas 15 hari mengharungi pelbagai cabaran di hutan turut mengundang rasa syukur dan sebak dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan operasi pencarian sejak hari pertama.
Jaslinda ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli petang kelmarin selepas operasi pencarian yang digerakkan pelbagai agensi dan sukarelawan memasuki hari ke-15.







