ad

MAIS perluas dakwah melalui aktiviti lapangan bersama belia

20 Okt 2025, 4:17 AM
MAIS perluas dakwah melalui aktiviti lapangan bersama belia
MAIS perluas dakwah melalui aktiviti lapangan bersama belia
MAIS perluas dakwah melalui aktiviti lapangan bersama belia

SHAH ALAM, 20 OKT: Pendekatan dakwah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semakin berkembang apabila memanfaatkan aktiviti lapangan sebagai medium mendekati masyarakat, khususnya generasi muda.

Melalui penganjuran Program We Care We Share 2025 di Dataran Banting, Kuala Langat, usaha ini membuktikan kesungguhan MAIS memperluas pemahaman Islam secara lebih inklusif dan mesra komuniti.

Timbalan Pengerusi MAIS, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, keberkesanan dakwah menuntut kerjasama menyeluruh antara institusi agama dan masyarakat setempat, selari dengan semangat tadbir urus Islam.

“Inilah roh sebenar tadbir urus Islam yang bergerak seiring dalam satu matlamat untuk membina masyarakat sejahtera berasaskan iman dan takwa,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Menurut beliau, pendekatan dakwah MAIS kini tidak hanya bersifat pemeliharaan, malah diterjemahkan dalam bentuk program yang menyentuh hati dan memberi kesan terhadap perubahan tingkah laku.

Program sehari itu dipenuhi pelbagai aktiviti seperti perkongsian ilmu bersama selebriti, fun walk, pertandingan mewarna, cabutan barakah serta reruai perkhidmatan agensi.

Inisiatif tersebut turut digerakkan secara kolaboratif bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Bahagian Dakwah serta Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat.

Turut serta memeriahkan program ialah penyertaan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Masjid Daerah Kuala Langat serta Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) MAIS termasuk PIMPINAN.

Antara tokoh yang hadir termasuk Setiausaha MAIS, Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini; Pengerusi PIMPINAN, Datuk Dr Yahya Baba; dan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Norraini Nordin.

Pendekatan menyeluruh ini memperlihatkan komitmen MAIS memposisikan dakwah sebagai wahana pembangunan rohani dan sosial, dengan menjadikan rakyat sebagai rakan strategik yang diraikan.