ad

Sultan Selangor titah kekalkan perpaduan, semarak keharmonian sempena Deepavali

19 Okt 2025, 1:09 PM
Sultan Selangor titah kekalkan perpaduan, semarak keharmonian sempena Deepavali

SHAH ALAM, 19 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat agar mengekalkan semangat perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi asas keharmonian Selangor.

Dalam titah perutusan sempena Hari Deepavali 2025, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu perayaan itu disambut dengan penuh kemeriahan, di samping mengekalkan semangat muafakat dan saling menghormati yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Beta dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dengan penuh sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Beta yang beragama Hindu di Selangor Darul Ehsan serta di seluruh negara.

“Semoga sambutan Pesta Cahaya pada tahun ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh rakyat jelata, khususnya masyarakat Hindu yang meraikannya.

“Beta menyeru agar perayaan ini disambut dengan penuh kemeriahan, di samping mengekalkan semangat perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi asas keharmonian Selangor,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah Hari Deepavali yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan mengingatkan kita semua tentang pentingnya nilai keinsafan, kebaikan dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

“Selangor sebagai negeri maju dan berbilang kaum hendaklah sentiasa menjadi contoh kepada negeri lain dalam mengamalkan sikap saling menghormati, bertoleransi dan bersatu padu demi mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi bersama.

“Semoga simbolik cahaya Deepavali akan terus menerangi kehidupan seluruh rakyat dengan harapan, kesejahteraan dan kemuliaan yang berkekalan. Deepavali Valthukal,” titah baginda.