SHAH ALAM, 19 OKT: Anugerah Seni Negeri (ASN) Selangor 2025 akan diperkasakan lagi pada masa akan datang melibatkan pelbagai kaum.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata langkah itu bagi menarik lebih ramai kaum dapat mempromosi budaya masing-masing.
"Kali ini ada Melayu, ada India dan kita harap tahun akan datang ada penglibatan pelbagai lagi kaum supaya masing-masing lebih aktif untuk memperkasa budaya masing-masing.

"Tahniah saya ucapkan kepada pemenang, usaha ini sebagai galakan dan suntikan kepada pengkarya untuk terus berjuang dalam seni karya muzik mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ASN Selangor 2025 di Hotel Mardhiyyah di sini hari ini.
Program itu merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor.
ASN bertujuan memberi pengiktirafan kepada individu yang memperlihatkan kejayaan, ketokohan, kepimpinan intelektual dan sumbangan cemerlang dalam bidang seni.
ASN tahun ini menjadi milik Pengasas Warisan Sound Studio, Sijangkang Mohd Khair Ghazali yang membawa pulang wang tunai RM3,000; piala dan sijil.
Sementara itu Mohd Khair ketika ditemui tidak sangka kerja suka-sukanya selama ini dihargai pengkarya seni sehingga dianugerahkan ASN, hari ini.

"Mungkin disebabkan saya sering membantu rakan-rakan untuk berkarya dengan menyediakan tempat (studio) untuk mereka sehingga diberi penghargaan hari ini, terima kasih sangat.
"Studio ini pun dah berusia 25 tahun daripada tidak dikenali sehingga sekarang ramai dah kenal dan datang antara artis yang pernah rekod adalah Datuk Ramli Sarip; Search dan beberapa lagi," katanya.
Dalam pada itu, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) diumumkan penerima Anugerah Pendukung Seni kategori jabatan kerajaan dan korporat, manakala Pertubuhan Kebudayaan Sugam Malaysia menerima Anugerah Pendukung Seni kategori NGO.
Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM pula dinobatkan penerima Anugerah Pendukung Seni kategori media, dan Bavany Annavy menerima Anugerah Khas Juri.
