ad

Selangor FC benam Negeri Sembilan 4-0, Faisal Halim jaring dua gol

18 Okt 2025, 3:36 PM
Selangor FC benam Negeri Sembilan 4-0, Faisal Halim jaring dua gol
Selangor FC benam Negeri Sembilan 4-0, Faisal Halim jaring dua gol

SEREMBAN, 18 OKT: Hasrat Selangor FC (SFC) untuk membalas dendam terhadap kekalahan kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super berhasil apabila menang bergaya 4-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Dalam aksi Liga Super di gelanggang sama sebelum ini, Selangor tewas kepada Negeri Sembilan 1-2.

Kedua-dua pasukan dilihat memulakan perlawanan dengan persembahan agresif dengan saling melakukan serangan ke kawasan kubu masing-masing untuk mendapatkan gol awal.

Pada minit ke-24, Mohd Faisal Halim hampir berjaya menjaringkan gol buat Selangor apabila berjaya melepasi kawalan dua pemain tuan rumah namun percubaannya dari dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Percubaan Chrigor Moraes dari luar kotak penalti pada minit ke-32 pula dapat diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan Muhammad Azri Ghani.

Bagaimanapun usaha Selangor untuk mendapatkan gol akhirnya berjaya diterjemahkan apabila Faisal yang menerima lorongan bola dari bahagian tengah bijak memanfaatkan peluang itu dengan mengatasi kawalan pertahanan pada minit ke-33.

Negeri Sembilan yang tersentak dengan jaringan itu cuba untuk menyamakan kedudukan namun dua percubaan dari Joseph Esso dan Jovan Motika tidak menepati sasaran sehingga berakhir separuh masa pertama, lapor Berita Harian.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukan apabila mendapat gol kedua yang dijaringkan Chrigor Moraes pada minit ke-47.

Ketika Negeri Sembilan cuba bangkit melalui beberapa percubaan terutama menerusi Motika dan Luqman Hakim Shamsudin, skuad The Red Giants sebaliknya memanfaatkan kelemahan bahagian pertahanan tuan rumah menerusi gol ketiga jaringan Zach Paul Clough pada minit ke-55.

Faisal kemudian menambah derita skuad Hobin Jang Hobin menerusi gol keempat Selangor pada minit ke-62.