KKM perketat saringan warga asing susulan kes malaria di Terengganu

5 Jun 2026, 3:00 PM
KKM perketat saringan warga asing susulan kes malaria di Terengganu

SHAH ALAM, 5 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkat langkah kawalan termasuk saringan bersasar terhadap warga asing susulan pengesanan 17 kes malaria di Terengganu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hampir semua kes penularan wabak itu direkodkan mempunyai kaitan dengan golongan terbabit, lapor Berita Harian.

“Kita juga menjalankan saringan malaria secara bersasar terhadap warga asing, manakala rawatan dan pengurusan pesakit dilaksanakan sepenuhnya oleh KKM bagi memastikan penularan dapat dikawal.

“Langkah pantas dan kerjasama pelbagai agensi penting bagi memutuskan rantaian jangkitan malaria di kawasan terbabit,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutup Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat KKM di AEON Bandaraya Melaka, hari ini.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan amaran tinggi susulan peningkatan kes malaria dalam kalangan warga Rohingya di negeri itu.

Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) setakat ini menerima 17 kes malaria dengan 10 daripadanya membabitkan jangkitan malaria jenis Plasmodium vivax dalam kalangan warga Rohingya kategori import dengan kes terbaru dikesan di daerah Dungun dan Kuala Nerus.

Hasil siasatan mendapati semua kes berkenaan dipercayai membabitkan individu yang memasuki negara ini secara tidak sah, selain maklumat berkaitan pergerakan mereka sukar diperoleh.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, daripada jumlah kes terbabit, sebanyak 14 kes membabitkan jangkitan daripada manusia, manakala tiga lagi berpunca daripada sumber zoonotik atau haiwan.

Serentak itu, katanya, pelbagai langkah sedang dilaksanakan termasuk pengesanan kes secara aktif, pengawasan lapangan dan mekanisme amaran awal antara agensi yang berkaitan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.