ad

PM Anwar tekan semangat perpaduan, keadilan sempena Deepavali

18 Okt 2025, 8:30 AM
PM Anwar tekan semangat perpaduan, keadilan sempena Deepavali
PM Anwar tekan semangat perpaduan, keadilan sempena Deepavali

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semangat perpaduan dan keharmonian kaum menjadi asas utama kejayaan serta kestabilan negara.

Berucap pada sambutan Deepavali di pekarangan KL Sentral hari ini, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap keunikan Malaysia yang terus mengekalkan perpaduan meskipun terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Kejayaan ekonomi, sosial dan budaya negara tidak akan tercapai tanpa keamanan dan kestabilan,” katanya sambil menegaskan perpaduan kaum sebagai elemen teras dalam pembinaan negara Madani.

Anwar berkata, mentadbir negara majmuk bukan perkara mudah, namun kerajaan tetap berpegang kepada prinsip keadilan untuk semua tanpa mengira kaum. Dasar dan peruntukan kerajaan, jelasnya, tidak dibuat berdasarkan kaum tetapi keperluan sebenar rakyat.

“Masalah kemiskinan tegar tidak dinilai berdasarkan latar belakang etnik, sebaliknya mengikut keperluan individu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu masyarakat India, antaranya peruntukan RM50 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia dan RM50 juta kepada TEKUN Nasional bagi membantu usahawan miskin.

Selain itu, dana RM2 bilion disediakan bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJPP) dan RM600 juta bagi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan untuk membantu masyarakat India memiliki rumah dan mengembangkan perniagaan.

Dalam aspek pendidikan, Anwar menjelaskan kerajaan menambah 1,500 tempat baharu di universiti awam untuk pelajar cemerlang termasuk daripada aliran STPM. Tawaran itu meliputi bidang kejuruteraan, perakaunan, perubatan, digital dan bahasa sebagai usaha memastikan peluang pendidikan lebih saksama.

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan reformasi pentadbiran dan usaha membanteras rasuah sebagai lambang cahaya kebenaran sempena Deepavali.

“Kerajaan telah berjaya merampas semula RM15.5 bilion hasil daripada kegiatan penyelewengan dan rasuah yang berlaku sebelum ini. Wang itu sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat, bukannya memperkayakan segelintir pemimpin yang tamak,” katanya.

Anwar turut menegaskan perjuangan membanteras rasuah mesti dilaksanakan bersama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama demi menyelamatkan negara.

“Cahaya Deepavali bukan sekadar hiasan, tetapi lambang kebenaran, keadilan dan penolakan terhadap kezaliman serta rasuah,” katanya.