SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memandang serius terhadap video tular di media sosial mengenai seorang wanita yang mengaitkan kenyataan daripada 'pegawai MAIS'.
MAIS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, video yang pernah tular pada 2021 itu menunjukkan wanita tersebut beberapa kali menyebut 'ustaz dari MAIS', sekali gus menimbulkan keraguan dan kekeliruan.
“MAIS telah memberi maklum balas berhubung video tersebut pada 18 Februari 2021 dan hasil semakan MAIS mendapati tiada pegawai yang membuat kenyataan seperti yang dimaksudkan oleh wanita dalam video tersebut.
“Melalui maklum balas itu juga, MAIS turut memohon wanita tersebut tampil untuk memberikan kerjasama bagi penjelasan lanjut, namun sehingga kini tiada sebarang laporan atau aduan diterima,” katanya.
Sehubungan itu, MAIS tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang menggunakan nama MAIS sewenang-wenangnya untuk sebarang kepentingan.
Sebarang pertanyaan, aduan dan rujukan boleh dibuat melalui e-mel pro@mais.gov.my atau menerusi laman sesawang rasmi www.mais.gov.my.




