ad

Peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 isyarat komitmen Kerajaan Madani

18 Okt 2025, 1:00 PM
Peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 isyarat komitmen Kerajaan Madani

SHAH ALAM, 18 OKT: Peruntukan tertinggi kepada Sabah dalam Belanjawan 2026 dilihat sebagai bukti komitmen Kerajaan Madani yang menekankan keperluan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata negeri yang ditadbir pembangkang turut menerima peruntukan yang besar membuktikan kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan diskriminasi politik.

“Peruntukan kepada Sabah misalnya adalah satu langkah tepat kerana negeri itu memang memerlukan pelaburan besar dalam infrastruktur, kemudahan asas dan pembangunan luar bandar,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Mazlan menambah, peruntukan besar kepada Sabah juga mencerminkan iltizam beterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur, memperluas kemudahan asas dan merancakkan ekonomi luar bandar di negeri berkenaan selaras keperluan semasa dan aspirasi rakyat tempatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu memaklumkan peruntukan pembangunan kepada Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022.

Beliau menjelaskan peningkatan itu mencerminkan komitmen nyata kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan khususnya dari segi prasarana asas kepada Sabah dengan negeri-negeri lain sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).