ad

Sidang Kemuncak Asean: Penjawat awam Selangor dibenar kerja dari rumah

17 Okt 2025, 9:38 AM
Sidang Kemuncak Asean: Penjawat awam Selangor dibenar kerja dari rumah

SHAH ALAM, 17 OKT: Penjawat awam Selangor dan anggota syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi kelonggaran bekerja dari rumah (BDR) susulan Sidang Kemuncak Asean yang dijangka menyebabkan peningkatan aliran trafik di sekitar Lembah Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan lancar sambil membantu mengurangkan beban perjalanan harian penjawat awam akibat kesesakan lalu lintas.

“Sebagai persediaan Sidang Kemuncak Asean yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober termasuk ketibaan delegasi luar negara bermula hari ini, Kerajaan Negeri akan memberi kelonggaran bekerja dari rumah (BDR).

"Kebenaran BDR ini tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan masing-masing untuk pertimbangan sewajarnya,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Pada masa sama, Amirudin turut menggalakkan majikan sektor swasta menawarkan fleksibiliti kepada pekerja sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung sebagai usaha bersama mengurangkan kesesakan dan gangguan terhadap perkhidmatan awam.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan pada 13 Oktober memaklumkan ketua jabatan diberi kuasa mempertimbangkan permohonan BDR bagi pegawai yang tinggal dalam radius 25 kilometer (km) dari pejabat dan terkesan dengan kesesakan trafik sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 hujung bulan ini.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur dijangka menjadi antara penganjuran terbesar dalam sejarah kumpulan serantau itu.