ad

Walaupun suka sama suka tetap diklasifikasi kes rogol: Polis

17 Okt 2025, 5:00 AM
Walaupun suka sama suka tetap diklasifikasi kes rogol: Polis

SHAH ALAM, 17 OKT: Polis menegaskan kejadian membabitkan seorang pelajar perempuan di Baling, Kedah tetap diklasifikasikan sebagai kes rogol walaupun berlaku atas dasar suka sama suka.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, ini kerana mangsa masih di bawah umur dan tidak cukup matang untuk memahami akibatnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana penyebaran pornografi kanak-kanak.

"Walaupun ia dilakukan secara suka sama suka tetapi kerana ia kanak-kanak bawah umur, ia masih diklasifikasikan sebagai rogol," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian berlaku di beberapa lokasi berasingan termasuk dalam kelas pada waktu petang dan ladang kelapa sawit berhampiran sekolah.

“Perbuatan itu dipercayai berlaku sekitar April lalu dan seorang daripada empat suspek berusia 17 tahun merupakan teman lelaki mangsa,” katanya.

Adzli berkata, seorang suspek adalah bekas pelajar yang dibuang sekolah, manakala tiga lagi masih bersekolah di sekolah sama.

“Kita turut merampas telefon bimbit dan menemui rakaman video berunsur seksual membabitkan mangsa,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan video berunsur seksual itu dijual, sebaliknya hanya dikongsi antara pihak terbabit termasuk oleh mangsa sendiri.

Terdahulu, media melaporkan empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah di Baling, Kedah ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes rogol secara berkumpulan serta penyebaran video lucah yang kemudian tular di media sosial.