SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri tekad memperkasa masyarakat Orang Asli, khususnya melalui pelbagai inisiatif pendidikan yang memberi peluang kepada mereka menuntut ilmu dan mengubah masa depan keluarga.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor percaya pendidikan adalah asas kemajuan yang berperanan penting dalam meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan yang lebih baik untuk komuniti tersebut.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Bantuan Sekolah yang menyediakan peruntukan bagi membaik pulih prasarana sekolah serta meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
Program ini secara langsung memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat untuk pelajar di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar dan penempatan Orang Asli,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Selangor 2025 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Majlis berkenaan meraikan kira-kira 50 pelajar Orang Asli cemerlang dan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Mohd Yazid Sairi.
Amirudin berkata, melalui program BUDI di bawah Yayasan Selangor, pelajar cemerlang berpendapatan rendah termasuk dari komuniti Orang Asli diberi peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.
Selain itu, Biasiswa Sagong Tasi turut diperkenalkan khusus bagi pelajar Orang Asli sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha meningkatkan taraf pendidikan komuniti tersebut.
“Sejak 2020, Biasiswa Sagong Tasi (Institut Pengajian Tinggi) ditawarkan kepada 15 pelajar dalam negara, manakala Biasiswa Sagong Tasi (Sekolah Menengah) telah diberikan kepada 40 pelajar sejak 2022 bagi menerima elaun bulanan setiap tahun,” jelasnya.
Sebelum ini, EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu memaklumkan sebanyak RM7.1 juta diperuntuk sejak 2020 untuk memperkasa pembangunan komuniti Orang Asli di Selangor melalui pelbagai program dan bantuan.
Katanya, jumlah peruntukan tahunan bagi hal ehwal Orang Asli juga meningkat daripada RM500,000 pada 2020 kepada RM1.5 juta, selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan Negeri memastikan kebajikan komuniti itu terus terbela.