ad

Kes tikam pelajar: Suspek hanya ada masalah belajar, bukan mental

16 Okt 2025, 6:11 AM
Kes tikam pelajar: Suspek hanya ada masalah belajar, bukan mental

KLANG, 16 OKT: Pelajar berusia 14 tahun yang didakwa menikam rakan sekolahnya hingga maut di Petaling Jaya pada Selasa diketahui mempunyai masalah pembelajaran, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Beliau berkata, bagaimanapun tidak sebarang isu kesihatan mental diketahui membabitkan suspek.

“Pihak sekolah memang sedia maklum mengenai masalah yang dihadapinya, namun ia tidak berkaitan dengan kejadian ini.

“(Suspek) menghadapi kesukaran dalam pembelajaran, bukan masalah personaliti atau mempunyai niat tertentu berkaitan insiden tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan walkabout sempena sambutan Deepavali di Little India, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keadaan mental suspek, Shazeli berkata, perkara itu akan dinilai oleh pakar perubatan.

“Saya rasa tidak adil untuk saya ulas mengenai keadaan mentalnya kerana polis bukan pakar psikiatri, jadi kita perlu rujuk kepada pakar yang sesuai. Secara fizikal, keadaannya sekarang kelihatan baik, itu sahaja yang boleh saya katakan,” ujarnya.

Beliau mengesahkan siasatan masih dijalankan dan sebanyak 59 keterangan saksi telah direkodkan setakat ini.

Shazeli menambah, pihaknya masih menunggu laporan lain termasuk daripada pakar dan dapatan tersebut akan didedahkan sebaik terdapat perkembangan baharu.

Pada 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat didakwa ditikam hingga maut oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek dipercayai menyerang mangsa di tandas perempuan, di mana remaja berkenaan ditemui dengan kesan tikaman di beberapa bahagian tubuh.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan polis.