SUBANG JAYA, 16 OKT: Semangat pembelajaran sepanjang hayat kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) terserlah apabila mereka menduduki semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di bawah inisiatif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Pengawal keselamatan MBSJ, Wan Amirulammar Wan Ahmad, 30, berkata beliau mengambil keputusan menduduki SPM ulangan selepas lebih sedekad berkhidmat, bagi memenuhi syarat kelayakan minimum perkhidmatan awam.
Wan Amirulammar antara 52 kakitangan MBSJ yang menyertai PTRS sepanjang sembilan hari sebagai persediaan menghadapi SPM ulangan pada November ini.

“Saya telah berkhidmat di MBSJ selama 10 tahun. Untuk memenuhi syarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), saya perlu mempunyai dua kredit dan empat lulus, tetapi kini saya hanya ada satu kredit. Jadi saya ambil keputusan untuk menduduki semula SPM.
“Memang mencabar kerana umur sudah 30 tahun, tetapi dengan inisiatif daripada MBI ini, kami lebih bersemangat. Harap dapat capai sasaran kredit dan lulus seperti ditetapkan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pembantu Operasi MBSJ, Rosfazila Risli, 49, berkata beliau turut menyahut cabaran itu bagi memperkukuh pencapaian akademik selepas sekian lama meninggalkan alam persekolahan.

“Kali pertama saya ambil peperiksaan dulu, tetapi kali ini saya cuba semula untuk mencapai sasaran yang ditetapkan pihak MBSJ. Walaupun umur semakin meningkat, saya anggap ini sebagai peluang dan cabaran baharu.
“Rasa bangga kerana majikan memberi sokongan dan peluang ini. Ia ibarat ‘durian runtuh’ untuk kami berusaha dan berjaya. Harap dapat sekurang-kurangnya tiga kredit dan empat lulus daripada tujuh subjek yang diambil,” kongsinya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan minimum bagi kemasukan ke perkhidmatan awam kepada SPM atau setaranya, bertujuan mengoptimumkan sumber dan meningkatkan produktiviti.






