ad

Yayasan MBI sedia modul PTRS bantu 52 kakitangan MBSJ duduki SPM ulangan

15 Okt 2025, 12:15 PM
Yayasan MBI sedia modul PTRS bantu 52 kakitangan MBSJ duduki SPM ulangan
Yayasan MBI sedia modul PTRS bantu 52 kakitangan MBSJ duduki SPM ulangan
Yayasan MBI sedia modul PTRS bantu 52 kakitangan MBSJ duduki SPM ulangan

SUBANG JAYA, 15 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membekalkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada 52 kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk membantu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara ulangan November ini.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata program yang julung kali diadakan dengan kerjasama MBSJ bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu bagi membantu mereka memenuhi kelayakan minimum baru peringkat SPM untuk perkhidmatan awam atau setara.

“Program pecutan terakhir SPM dibuat untuk membantu mereka mengekalkan kerjaya di MBSJ. Semua 52 kakitangan akan mempelajari enam subjek iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains dan Pendidikan Islam.

“Yayasan MBI bekalkan modul secara percuma manakala JPNS sediakan guru di mana elaun dibayar oleh MBSJ. Kelas akan diadakan selama sembilan hari di Kompleks 3C Jabatan Pembangunan Masyarakat MBSJ.

“Mereka akan belajar teknik menjawab, didedah dengan soalan ramalan supaya boleh fokus dan matlamat kita untuk mereka setidak-tidaknya lulus dan paling baik meraih gred kepujian serta kredit,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap ketika Majlis Pelancaran Kelas PTRS Yayasan MBI bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Kompleks 3C Jabatan Pembangunan Masyarakat MBSJ pada 15 Oktober 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, Azri memaklumkan pihaknya bersedia meluaskan pelaksanaan program ke pihak berkuasa tempatan (PBT) lain mengikut keperluan dan permintaan pada tahun hadapan.

“Insya-allah kita akan melihat untuk mengembangkan program pecutan SPM ini pada tahun hadapan.

“Yayasan MBI akan melihat dulu pelaksanaan di MBSJ sebagai perintis, jika berhasil, kita akan luaskan melalui beberapa penambahbaikan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM11 juta bagi melaksanakan PTRS 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar.

Program tuisyen secara percuma itu memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.