SHAH ALAM, 15 Okt: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memperkemas Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi penyampaian sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai langkah memperkukuh tata kelola selaras dengan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor, berkata SOP yang dikemas kini itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa SOP Yayasan MBI sebelum dikuatkuasakan dan dilaksanakan di bawah Jawatankuasa CSR agensi tersebut.
“Penambahbaikan akan dibuat susulan laporan dan siasatan berhubung sumbangan yang disalurkan oleh pihak ketiga sebelum ini.
“Hasil perbincangan bersama Jabatan Integriti MBI dan SPRM, beberapa langkah baharu akan dilaksanakan termasuk mewajibkan penerima sumbangan menghantar laporan penggunaan dana kepada Yayasan MBI,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kelas Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) khas Yayasan MBI bersama MBSJ di Kompleks 3C, Jabatan Pembangunan Masyarakat MBSJ di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, pihaknya akan turut memasukkan klausa peringatan berkaitan Akta SPRM 2009 dalam laporan, surat pemakluman atau surat kelulusan sumbangan sebagai langkah meningkatkan kesedaran integriti dalam kalangan penerima.
“Dalam SOP sebelum ini, perkara itu tidak dinyatakan secara jelas hanya melalui surat pemakluman. Kini, klausa penghantaran laporan akan dimasukkan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti,” ujarnya.
Azri menegaskan penambahbaikan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan amalan tadbir urus korporat yang telus dan mematuhi peraturan SPRM.
Semalam, SPRM menyarankan Yayasan MBI melaksanakan pematuhan tata kelola yang baik dalam dasar pemberian sumbangan.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, berkata keperluan untuk memantapkan prosedur pemberian sumbangan, tajaan dan pelaksanaan program CSR penting dilaksanakan dalam agensi membabitkan Kerajaan Negeri.
Azwan memaklumkan langkah itu penting bagi menutup ruang kepada isu penyelewengan dan salah guna wang sumbangan dalam badan yang mentadbir pengurusan aset serta pelaburan milik Kerajaan Negeri.