Menjadi pendidik dalam era teknologi masa kini ibarat mengemudi bahtera ilmu di tengah-tengah arus perubahan yang bergelora.
Dunia pendidikan tidak lagi bergerak dalam kerangka tradisional, sebaliknya berkembang selari kemajuan teknologi, perubahan sosial dan tuntutan masyarakat yang kian kompleks.
Seorang guru bukan sekadar menyampaikan sukatan mata pelajaran, bahkan mereka perlu kreatif, peka dan berdaya tahan dalam landskap pendidikan semasa.
Mantan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra, Azman Sharif, 60, percaya pengajaran dengan penuh penghayatan berupaya menyentuh nurani dan membina kemampuan akal.
Guru yang benar-benar memahami makna ilmu akan berupaya menghidupkan intipati pembelajaran di bilik darjah, berbanding pengajaran yang sekadar menyentuh permukaan topik tanpa menyelami kandungan sebenar.
Hal ini ketara dalam pengajaran sejarah yang menuntut kefahaman mendalam terhadap peristiwa, tokoh dan konteks masa lalu.
"Guru yang mempunyai latar belakang bidang sejarah amat penting kerana subjek ini tidak mudah difahami sekiranya tidak diajar oleh orang yang layak dan mempunyai pengetahuan yang luas.
"Saya banyak bercerita di dalam kelas supaya pelajar lebih tertarik dan tidak mudah bosan mempelajari peristiwa yang sudah lama berlaku," katanya yang lebih mesra disapa Cikgu Azman kepada Media Selangor.

Beliau percaya usaha untuk menyemai minat dan semangat pelajar terhadap pembelajaran sejarah perlu bermula daripada kesungguhan guru sendiri. Setiap bab dan topik perlu dihurai secara kreatif supaya proses pembelajaran tidak membosankan pelajar.
"Seiring perkembangan teknologi pendidikan, guru tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah penyampaian tradisional, sebaliknya perlu memanfaatkan kemudahan teknologi sedia ada bagi menyampaikan penerangan yang lebih jelas, berfokus dan mudah difahami oleh pelajar," katanya.
Cikgu Azman yang turut menggerakkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) percuma menegaskan asas utama seorang guru mestilah lahir dari minat yang mendalam terhadap profesyen tersebut.
Tanpa kecintaan terhadap peranan mendidik, seseorang guru berkemungkinan melaksanakan tugas sekadar rutin tanpa memberi perhatian sewajarnya kepada kualiti pendidikan serta pembentukan masa depan anak bangsa.
Justeru, pendidik yang berwibawa perlu sentiasa memperkukuh penguasaan ilmu melalui pembelajaran berterusan, kajian serta penyelidikan agar keupayaan intelektual dan kualiti pengajaran berada pada tahap tinggi.
"Guru perlu kompeten di sekolah, guru yang tidak kompeten tidak akan mampu menarik minat pelajar mendalami sesuatu subjek terutama sejarah," katanya yang pernah mengajar mata pelajaran berkenaan.
Dengan nada tegas, beliau menyifatkan guru berkualiti perlu memiliki pengetahuan mendalam, tahap kompetensi tinggi serta kesanggupan memikul tanggungjawab membimbing generasi masa depan.
Cikgu Azman turut mengingatkan tugas sebagai pendidik bukan amanah ringan kerana kesilapan dalam mendidik mempengaruhi masa depan individu sekali gus memberi kesan terhadap generasi masa depan.
"Kesilapan dalam mendidik bukan sahaja mencorak masa depan individu malah boleh memberi impak mendalam terhadap generasi akan datang," katanya lagi.

Kelas Cikgu Azman
Selepas lebih 35 tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan, Cikgu Azman terus berkongsi pengalaman dengan membuka Kelas Cikgu Azman (KCA) sebagai ruang ilmu terbuka kepada rakan-rakan anaknya dan sesiapa jua yang memerlukan bimbingan akademik.
Bilik seminar Perpustakaan Awam Banting menjadi medan perkongsian ilmu dengan menjadikan modul PTRS yang diperkenal Kerajaan Selangor sebagai asas pembelajaran untuk membantu pelajar menguasai mata pelajaran sejarah.
Pelajarnya datang dariப pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang berdepan kesukaran dan hampir berputus asa. Namun mereka berkumpul dengan satu tekad sama, iaitu menguasai mata pelajaran teras SPM tersebut.
Menyedari mata pelajaran itu sering dianggap sukar kerana sarat dengan fakta, tarikh dan nama tokoh, beliau menekankan kaedah pengajaran yang hidup dan berkesan.
“Sejarah tidak boleh diajar sekadar fakta. Ia perlu diceritakan semula supaya menjadi hidup,” katanya.









