SHAH ALAM, 15 OKT: Program Kitar Semula dan Kebersihan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 sempena sambutan Hari Cuci Malaysia baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Ketua Kampung Jalan Kebun Ahmad Muhidin Dasuki berkata melalui program itu, penduduk berpeluang menukarkan bahan kitar semula kepada baucar Speedmart bernilai RM5, selain menerima bayaran tunai RM2.50 bagi setiap kg minyak masak terpakai.
“Apabila barangan terpakai dikumpulkan dan dikitar semula melalui inisiatif ‘Recycle & Reward’, ia bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah memberi pulangan nilai ringgit yang boleh dimanfaatkan.
“Nilainya mungkin kecil, tetapi manfaatnya besar. Rumah jadi lebih kemas, bersih dan selesa,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar kempen kebersihan, sebaliknya satu gerakan komuniti yang memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, penglibatan aktif penduduk bersama keluarga yang membawa bahan kitar semula dari rumah masing-masing mencerminkan kesedaran tinggi masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam.
“Pendekatan ini memberi motivasi kepada penduduk untuk mengurus sisa dengan lebih bertanggungjawab.
“Lebihan minyak masak yang dikumpul di pusat kitar semula MBSA akan digunakan bagi penghasilan biodiesel, sekali gus mengelak pencemaran longkang dan sungai,” tambahnya.