ad

MB: Imbangi perpaduan, adaptasi teknologi pacu bandar berdaya huni

15 Okt 2025, 2:49 AM
MB: Imbangi perpaduan, adaptasi teknologi pacu bandar berdaya huni

SHAH ALAM, 15 OKT: Mencari usaha perpaduan dengan mencipta titik keseimbangan antara semua pihak antara empat perkara penting ditekankan dalam membentuk bandar maju dan berdaya huni.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari turut menyeru semua pihak beradaptasi dengan teknologi serta memanfaatkannya sebagai alat bantu meningkatkan kecekapan urusan seharian.

"Ketiga, memberi khidmat setara atau lebih baik dengan nilai berpatutan untuk rakyat dan pelanggan dan terakhir menggunakan media untuk menyebarkan nilai positif, mewujudkan bandar yang sihat, harmoni dan berdaya huni untuk semua," katanya.

Beliau berucap demikian merasmikan Forum Bandaraya Shah Alam, semalam. Forum yang menghimpunkan pelbagai pihak membincangkan masa depan Shah Alam yang lebih inklusif, mampan dan rendah karbon.

Lebih 40 sesi dialog dan seminar diadakan meliputi tema seperti kecerdasan buatan, inovasi digital untuk bandar pintar, pemodelan mitigasi banjir, lampu isyarat pintar dan pembangunan komuniti.

Amirudin berkata forum itu wadah perkongsian ilmu dan penyelesaian komuniti berasaskan data, inovasi dan empati selaras aspirasi Malaysia Madani dan Wawasan Selangor Negeri Pintar.

"Forum ini memperkukuh konsep tadbir urus bandar raya yang bukan lagi bersifat atas ke bawah tetapi kolaboratif, rentas sektor dan berteraskan kesejahteraan rakyat," katanya.

"Shah Alam menuju 2035 bukan sekadar membangun atas tanah, tetapi bersama rakyat sebagai model bandar progresif dan lestari yang mengangkat kolaborasi pintar demi kesejahteraan semua."