ad

EXCO: Selangor perkukuh pendidikan seks di sekolah bawah Jais

14 Okt 2025, 1:18 PM
EXCO: Selangor perkukuh pendidikan seks di sekolah bawah Jais

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bagi memperkukuh aspek pendidikan seks di sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata perbincangan itu akan dilakukan bersama EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah supaya pendidikan itu terus diperkukuh sekali gus elak perkara buruk berlaku.

“Apabila kanak-kanak semakin membesar golongan ini terdedah dengan ingin tahu tetapi tidak boleh bertanya sedangkan mereka perlu bimbingan orang dewasa bagaimana mengawal nafsu.

“Oleh itu, apa berlaku di Alor Gajah, Melaka ini sangat serius dan kerajaan persekutuan perlu menggalinya serta mencari punca berlakunya kes tersebut.

“Silibus pendidikan bagi sekolah rendab atau kebangsaan bidang kuasa persekutuan tetapi negeri tiada masalah untuk bekerjasama. Bagi sekolah bawah Jais, saya akan mengadakan perbincangan dengan Dr Fahmi untuk memperkukuh pendidikan seks,” katanya kepada Media Selangor.

Anfaal yang juga EXCO pembangunan wanita turut menjelaskan pihaknya menyarankan wakil rakyat untuk terus mengadakan program atau aktiviti kekeluargaan bagi menyuburkan institusi tersebut.

“Selangor juga anjurkan pelbagai program seperti Karnival Ceria dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan selain membantu ibu bapa kemahiran berkomunikasi dengan anak-anak.

“Namun, kita mahu wakil rakyat juga memainkan peranan dengan perbanyakkan aktiviti kekeluargaan di kawasan masing-masing,” katanya.

Pada 2 Oktober lalu, seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek ketika mangsa berpatah balik ke kelas untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.

Ketika kejadian juga, dua lagi rakan suspek menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.

Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video berkenaan daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.

Susulan kejadian, semua empat pelajar yang terlibat sudah dibuang sekolah serta-merta setelah keputusan dibuat Lembaga Tatatertib Sekolah.