SUBANG JAYA, 14 OKT: Latihan Kecemasan Ex Gasak dijalankan di Lapangan Terbang Subang, hari ini bagi menguji keberkesanan koordinasi di antara agensi keselamatan dan operasi lapangan terbang dalam menghadapi insiden sabotaj dan tindakan agresif yang menyalahi undang-undang.
Pengurus Lapangan Terbang Subang, Ahmad Fikri Samsudin berkata simulasi itu melibatkan senario berskala penuh yang melakonkan semula kemungkinan insiden yang berpotensi menjejaskan operasi harian, termasuk kebocoran bahan kimia berbahaya dan penculikan berprofil tinggi.
"Semua prosedur dilaksanakan mengikut garis panduan Pelan Kontinjensi Lapangan Terbang (ACP). Ia meningkatkan keupayaan kolektif kita untuk bertindak dengan pantas dan tegas dalam situasi kecemasan.
"Sebagai pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan lapangan terbang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kami terhadap keselamatan penumpang serta komuniti lapangan terbang," katanya.

Agensi utama negara yang terlibat dalam simulasi berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Dalam pada itu, Ahmad Fikri menagkui simulasi berkenaan juga sebagai persediaan menghadapi Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini.
"Kami difahamkan ada ketibaan antarabangsa yang penting di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang.
"Lapangan Terbang Subang sudah bersedia dan kita sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat bersama pihak Kementerian Luar Negeri.
"Namun sebagai makluman, di sini kami menerima delegasi berstatus menteri ataupun ke bawah sahaja," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun latihan itu bukan khusus kerana persediaan menerima delegasi ASEAN, tahap kesiapsiagaan keselamatan tetap diberikan keutamaan bagi semua operasi penerbangan.
“Latihan seperti ini turut dijalankan bagi operasi penerbangan harian, termasuk membabitkan penumpang domestik dan antarabangsa. Ia penting bagi memastikan sebarang insiden dapat dikawal dengan baik.
"MAHB sentiasa bersiap siaga dan yakin dengan koordinasi mantap antara semua agensi terlibat, penerimaan delegasi ASEAN kelak akan berjalan dengan lancar dan selamat," katanya.