ad

Video tular lelaki ditahan jenayah samun cuma latihan simulasi

9 Nov 2025, 10:48 AM
Video tular lelaki ditahan jenayah samun cuma latihan simulasi

SHAH ALAM, 9 NOV: Polis mengesahkan video tular memaparkan sepasukan anggota menahan seorang individu di Klang bukan kejadian samun seperti didakwa, sebaliknya latihan simulasi ‘hot pursuit’ anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata latihan yang dijalankan sekitar jam 10 pagi semalam itu bertujuan mengkaji keberkesanan dan kesiapsiagaan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pusat kawalan daerah dalam situasi pengejaran.

“Latihan ini juga melibatkan koordinasi bersama cawangan pusat kawalan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPD Klang Utara, dengan penyertaan dua pegawai kanan serta 26 pegawai rendah polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan rakaman atau maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan atau keresahan masyarakat, kerana tindakan boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, video berdurasi 30 saat itu tular di media sosial mendakwa seorang lelaki ditahan selepas menyamun kedai emas dan melarikan diri di Aman Perdana, Klang.