HULU LANGAT, 14 OKT: Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan dibekalkan kepada penghuni Sekolah Integriti bagi membantu persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata ia melibatkan tiga penghuni Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan sembilan di Pusat Koreksional Puncak Alam yang akan mengambil SPM tahun ini.
“Saya telah berhubung dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Sekolah Integriti untuk penghuni yang duduk di penjara atau di pusat koreksional.
“Ada tiga di penjara Kajang dan sembilan lagi di Pusat Koreksional Puncak Alam dan mereka ini adalah calon SPM pada tahun ini. Ada yang ambil baru pertama kali, ada yang calon mengulang dan kita akan bekalkan mereka ini dengan modul-modul PTRS supaya mereka dapat mengulangkaji pelajaran mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan serahan sumbangan lampin pakai buang dewasa untuk prospek Penjara Kajang kepada Pengarah Penjara Kajang Timbalan Komisioner Penjara Mohd Sharin Sabtu di Penjara Kajang di sini, hari ini.
Sekolah Integriti menyediakan pendidikan secara formal di institusi penjara dengan kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Jabatan Penjara Malaysia yang disediakan kepada penghuni berumur antara 15 hingga 21 tahun.
PTRS memanfaatkan pelajar tingkatan empat dan lima menerusi pemberian modul bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.
PTRS turut diperluas dengan Program Didik Kasih (PDK) bermula tahun ini, bagi murid sekolah rendah yang memerlukan intervensi literasi dan numerasi.