SHAH ALAM, 14 Okt: Sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad mengakui bahawa beliau telah menemui pelbagai perkara negatif yang selama ini “disimpan di bawah karpet” dalam sistem pendidikan negara.
Semua itu terdedah hanya dalam tempoh tiga bulan beliau menerajui institusi tersebut.
Menurut beliau, di antara isu paling membimbangkan adalah aduan kes amang seksual dan buli yang berlaku dalam institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM). Lebih membimbangkan, sesetengah kes sudah lama disimpan dan hanya timbul ke permukaan apabila pendakwaan atau laporan media dibuat.
“Setiap gejala negatif perlu dilaporkan. Sekalipun setiap hari sekolah dan guru menerima aduan berkaitan amang seksual dan buli, perkara ini mesti diberi perhatian serius,” kata beliau dilapor Harian Metro ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Anti Buli anjuran PDRM, di ibu negara.
Dr Mohd Azam menegaskan, tindakan menyembunyikan masalah bukan sahaja mencederakan mangsa, malah mengancam keseluruhan sistem. Beliau menyamakan situasi itu seperti duri dalam daging dan bom atom yang sedang menunggu masa untuk meletup.
“Jika semua masalah disimpan di bawah karpet, seolah-olah hanya perkara baik wujud. Tetapi hakikatnya, ada banyak perkara buruk berlaku yang selama ini dilupakan,” ujarnya lagi.
Tambahnya, menjadi tanggungjawab beliau untuk membawa keluar perkara buruk itu bagi membolehkan usaha perancangan strategi dilakukan.
"Saya memberi peringatan kepada semua, setiap gejala negatif perlu dilaporkan, walaupun setiap hari (sekolah dan guru) menerima aduan sama ada amang seksual dan buli, ia harus diberi perhatian.
"Perhatian itu penting untuk kita duduk bersama menyusun strategi, menyusun kerjasama dan memikul tanggungjawab. Jika semua mahu disimpan dalam karpet, seolah-olah hanya perkara baik sahaja yang ada... tetapi hakikatnya ada sesuatu yang berlaku.
Selain itu, beliau juga menyeru supaya pentadbir sekolah serta pengarah pendidikan negeri dan daerah supaya lebih agresif dalam strategi menangani gejala negatif dalam kalangan pelajar. Peranan mereka, tegasnya, penting untuk memperkasakan sistem sahsiah dan keselamatan sekolah agar tidak mudah diceroboh oleh unsur negatif.
“Murid-murid sekarang hidup dalam dunia maklumat yang melimpah, ada kebaikan, ada kejahatan. Jika pentadbir tidak cekap mengurus, generasi akan termakan arus negatif,” tambahnya.