SHAH ALAM, 14 OKT: Aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla mendedahkan layanan kasar dan tidak berperikemanusiaan yang diterima ketika ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Menurut Rusydi Ramli, semua peserta flotilla ditahan selepas kapal mereka dikepung 12 kapal perang Israel sebelum dibawa ke pelabuhan dan seterusnya ke pusat tahanan.
"Peserta yang sampai awal ada yang dipaksa tunduk dengan kepala mencecah lantai dan tangan diikat di belakang selama dua hingga tiga jam.
"Ada juga yang cedera, termasuk patah tangan akibat dipulas dengan kasar," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Anak kelahiran Kuala Terengganu itu menambah, walaupun kumpulannya tidak menerima kekasaran seteruk itu, mereka tetap diarah tunduk dengan kasar ketika dibawa menaiki bas tahanan menuju ke penjara.
"Bas tahanan itu mempunyai lima sel kecil di bahagian hadapan dan satu sel besar di belakang yang boleh memuatkan ramai tahanan. Mereka buat seolah-olah kami ini penjenayah berbahaya.
"Saya ditempatkan dalam sel kecil yang hanya muat dua orang, tetapi ada juga yang dipaksa duduk bertiga. Ruang itu gelap dan sempit, langsung tidak nampak apa-apa," katanya yang kini menetap di Kajang.
Beliau berkata, perjalanan ke penjara mengambil masa kira-kira dua jam dalam keadaan panas, bising dan tanpa bekalan air minuman, menjadikannya antara pengalaman paling pahit sepanjang tempoh tahanan.

Tabah depani kekejaman demi Palestin
Rusydi turut mendedahkan tahanan aktivis menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan, walaupun ada rakan yang memerlukan bantuan segera.
"Kami minta ubat sejak pagi hingga malam tetapi tidak dilayan. Apabila kami ketuk pintu dan minta bantuan, mereka datang bawa anjing dan acu senapang hanya untuk menakut-nakutkan kami, bukan untuk beri ubat.
"Hanya selepas jam 1 pagi pihak penjara memanggil tahanan yang sakit untuk diberikan ubat," jelasnya.
Beliau berkata, walaupun berdepan kekejaman itu, semua peserta kekal tabah dan tenang kerana menyedari perjuangan tersebut adalah demi kemanusiaan dan kebebasan rakyat Palestin.
Menurutnya, beliau terpanggil untuk menyertai misi itu kerana sebelum ini kebanyakan misi kemanusiaan ke Palestin didominasi sukarelawan dari negara Eropah.
"Apabila Nadir Al-Nuri menyertai dan membawa inisiatif Sumud Nusantara menjadi sebahagian daripada misi global ini, kami berasa amat bersyukur dan terharu.
"Sebenarnya kami rasa terhutang budi kepada sukarelawan Eropah yang bukan beragama Islam, tetapi sanggup berlayar jauh demi perjuangan rakyat Palestin.
"Kita perlu sentiasa bercakap tentang isu Palestin serta mendidik diri dan anak-anak memahami perjuangan ini.
"Saya juga berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah sedaya upaya membantu kami ketika ditawan tentera rejim," katanya yang menyertai misi kemanusiaan itu buat kali pertama.