ad

Tiada rakyat tempatan dikesan terlibat penyalahgunaan fentanyl

13 Okt 2025, 2:40 PM
Tiada rakyat tempatan dikesan terlibat penyalahgunaan fentanyl

SHAH ALAM, 13 OKT: Polis mengesahkan tiada warga tempatan ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan fentanyl setakat ini, sejak rampasan besar-besaran dadah sintetik berkenaan pada Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya juga belum menerima sebarang laporan yang boleh dikaitkan dengan rakyat negara ini berkaitan bahan terlarang itu.

Beliau berkata daripada siasatan yang dibuat, polis percaya suspek yang terlibat dalam kes itu merupakan sindiket antarabangsa yang cuba membawa masuk fentanyl menggunakan kontena melalui sebuah pelabuhan di Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA

"Setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat berkaitan kes itu. Polis juga percaya cubaan membawa masuk dadah sintetik itu merupakan cubaan awal sindiket berkenaan untuk memperkenalkan fentanyl ke dalam pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata fentanyl adalah dadah sintetik berbahaya yang telah menyebabkan banyak kematian di luar negara dan polis sentiasa berwaspada terhadap cubaan membawa masuk bahan itu ke negara ini.

Pada 23 September lalu, Hussein mendedahkan polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah rantaian antarabangsa selepas merampas lebih 1,000 kilogram (kg) fentanyl dan pelbagai dadah lain bernilai RM32.14 juta dalam serbuan di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor pada 19 dan 23 Ogos, yang menyaksikan empat lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua wanita warganegara asing ditahan.

Siasatan polis mendapati fentanyl itu diproses dalam bentuk cecair serta serbuk sebelum dijual dalam pasaran dan percaya serbuk dadah itu dijadikan pil manakala cecair pula digunakan sebagai campuran untuk rokok elektronik (vape).

- BERNAMA