HULU LANGAT, 13 OKT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah mendedahkan sindiket penyeludupan migran mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap individu yang menggunakan khidmat mereka untuk masuk ke negara ini.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Hakemal Hawari, berkata hasil risikan mendapati semua migran berkenaan dibawa ke lokasi tertentu sebelum diagihkan ke sektor tertentu mengikut permintaan.
"Bergantung kepada permintaan. Kadang-kadang satu kereta lima, enam orang. Kadang-kadang satu kereta empat orang. Tak tentu,” katanya pada sidang media di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak polis percaya semua individu yang ditahan merupakan ahli kumpulan sama yang aktif mengatur pergerakan migran termasuk sekitar Selangor dan negeri berhampiran.
Menurutnya lagi, sindiket terbabit kerap menukar lokasi pendaratan di sepanjang pesisir pantai termasuk Pulau Carey dan Morib bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, siasatan juga mendapati kumpulan itu menukar kepada beberapa bot kecil di tengah laut dan berpecah bagi mengurangkan risiko ditangkap serentak.
Tambah beliau, kumpulan sama dipercayai pernah menggunakan media sosial bagi menawarkan khidmat penyeludupan kepada warga asing yang ingin memasuki Malaysia secara haram.
Hakemal berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang utama serta rangkaian lain yang terlibat dalam menguruskan kutipan bayaran daripada migran tersebut.
Bagi tahun ini jumlah kes membabitkan Akta AntiPemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan (ATIPSOM) di bawah kendalian Briged Tengah PGA membabitkan 10 warganegara, tiga Bangladesh dan 24 Indonesia.
Manakala tangkapan pendatang asing tanpa izin pula seramai 774 orang membabitkan Myanmar 77, Bangladesh 66, Indonesia 628 dan Nepal tiga orang.