ad

Mais, LZS terus bela kebajikan warga emas mualaf di Selangor

13 Okt 2025, 10:29 AM
Mais, LZS terus bela kebajikan warga emas mualaf di Selangor
Mais, LZS terus bela kebajikan warga emas mualaf di Selangor
Mais, LZS terus bela kebajikan warga emas mualaf di Selangor

SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sentiasa memastikan kebajikan warga emas mualaf dipelihara menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan berterusan demi menjamin kesejahteraan hidup mereka.

Setiausaha Mais Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata Lembaga Zakat Selangor (LZS) antara badan yang menyantuni golongan itu melalui pelbagai bentuk sokongan termasuk bantuan kewangan, kebajikan dan bimbingan pengukuhan akidah.

“Untuk kebajikan warga emas mualaf ini, kalau bagi tempoh kurang lima tahun, kebajikan ini akan disantuni oleh pihak LZS, mereka mempunyai peruntukan.

“Ataupun jika mereka belum melepasi hak taklif iaitu belum bergraduasi daripada segi pengukuhan Islam mereka, mereka akan terus dibantu oleh LZS.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Mohd Sabirin Mohd Sarbini (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penggunaan Sistem e-Muallaf di antara Mais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Bangunan  Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Oktober 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Di Selangor juga, jika warga emas mualaf ini telah melepasi tempoh lima tahun atau sebagainya dan jika mereka masih lagi berkelayakan di bawah kategori asnaf, fakir dan miskin, mereka akan terus dibantu oleh LZS,” katanya selepas majlis menandatangani MoU penggunaan sistem e-Muallaf di sini, hari ini.

Mais hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkait penggunaan sistem e-Muallaf ke arah memperkukuh pengurusan maklumat mualaf Selangor supaya lebih tersusun, cekap dan menyeluruh.

Pemeteraian MoU antara Mais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disempurnakan Mohd Sabirin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail.

e-Muallaf adalah sistem pangkalan data nasional dibangunkan Jakim dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), sebagai platform utama untuk merekod, menyelaras dan mengesahkan maklumat pengislaman serta bimbingan mualaf di seluruh negara.