ad

e-Muallaf kukuh pengurusan data saudara baharu di Selangor

13 Okt 2025, 12:23 PM
e-Muallaf kukuh pengurusan data saudara baharu di Selangor
e-Muallaf kukuh pengurusan data saudara baharu di Selangor
e-Muallaf kukuh pengurusan data saudara baharu di Selangor
e-Muallaf kukuh pengurusan data saudara baharu di Selangor

SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkait penggunaan sistem e-Muallaf ke arah memperkukuh pengurusan maklumat mualaf Selangor supaya lebih tersusun, cekap dan menyeluruh.

Majlis menandatangani MoU antara Mais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, disempurnakan Setiausaha Mais Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail.

Mohd Sabirin berkata e-Muallaf adalah sistem pangkalan data nasional dibangunkan Jakim dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), sebagai platform utama untuk merekod, menyelaras dan mengesahkan maklumat pengislaman serta bimbingan mualaf di seluruh negara.

Jelasnya, MoU itu berkuatkuasa selama dua tahun bermula 13 Oktober 2025 hingga 12 Oktober 2027 dan pelaksanaannya akan dipantau bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama Mais dan Jakim yang menilai kemajuan pelaksanaan, keselamatan maklumat serta keperluan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Sistem ini akan menjadi satu lagi inisiatif yang akan dapat membantu mualaf bagi memastikan ekosistem seperti bantuan dan sokongan berjalan dengan lebih berkesan.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Mohd Sabirin Mohd Sarbini bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penggunaan Sistem e-Muallaf di antara Mais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Oktober 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Selain itu, antara isu (yang boleh dibantu menerusi e-Muallaf) ini antaranya isu-isu kematian yang berlaku, kadang-kadang bila berlaku kematian ini, untuk saudara kita atau mualaf berlaku perebutan. (Jadi sistem) ini membantu untuk mengetahui status mereka sebenarnya pada masa itu.

“Manakala bagi yang masih hidup, antara perkara yang perlu dilihat adalah penghijrahan saudara mualaf ini ke negeri lain, selain mengelak bantuan bertindan dan terputusnya bantuan,” katanya selepas majlis menandatangani MoU penggunaan sistem e-Muallaf di sini, hari ini.

Tambah Mohd Sabirin dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sejumlah 10,000 saudara baharu atau mualaf telah didaftarkan di Selangor dengan kira-kira 1,200 sejak Januari hingga September lalu.

“Kita dapat melihat bila saudara baru ini memeluk agama Islam, antara keperluan yang mereka perlukan sebenarnya selain daripada bantuan fizikal adalah bantuan sokongan seperti sokongan spiritual daripada majlis agama ataupun rakan-rakan.

“Ini kerana jika mereka memeluk agama yang lain mereka (biasanya) akan kehilangan segalanya iaitu mungkin harta dan juga keluarga. Jadi kami dan juga orang sekeliling ini adalah antara entiti yang akan menyokong dan meneruskan pengukuhan pengislaman mereka,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Mohd Ajib berkata sistem pangkalan data yang menyelaras aspek pengurusan mualaf termasuk kebajikan dan penjagaan berperanan penting dalam pengurusan mualaf lebih moden, cekap dan berkesan terutama dalam situasi kritikal.

“Contohnya berkaitan status pengislaman apabila berlaku kematian atau tuntutan jenazah boleh dicapai di hujung jari selain sebagai langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan yang mana lapan negeri telah menggunakan sistem ini sepenuhnya,” katanya.