ad

Ganja bernilai RM5.9 juta dirampas, tujuh termasuk dua wanita diberkas

13 Okt 2025, 10:01 AM
Ganja bernilai RM5.9 juta dirampas, tujuh termasuk dua wanita diberkas

SHAH ALAM, 13 OKT: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas dadah jenis bunga dan daun ganja seberat 173.14 kilogram (kg) bernilai RM5.9 juta, dalam empat serbuan berasingan pada 3 dan 5 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata polis turut menahan lima lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun, serta merampas dua kenderaan dengan nilai sitaan berjumlah RM129,000.

Beliau berkata dua lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di sekitar Subang Jaya, sebelum pemeriksaan di premis itu menemukan 115 bungkusan plastik berisi dadah disyaki bunga ganja seberat 112.23kg serta 43 paket plastik berisi ketulan ganja seberat 4.72kg.

“Serbuan kedua di tepi jalan sekitar Petaling Jaya pula membawa kepada penahanan dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Alza bersama 12 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 12.52kg.

“Suspek berikutnya iaitu seorang lelaki dan wanita ditahan dalam serbuan ketiga di sebuah hotel sekitar Selayang, sebelum pemeriksaan di dalam bilik berkenan menemukan dua bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 2.1kg,” katanya pada sidang media di sini hari in.

Hussein berkata tangkapan di Selayang membawa kepada rampasan 40 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 41.56kg, yang disimpan di dalam kereta jenis Toyota Vios di kawasan parkir sebuah kondominium di Petaling Jaya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket yang dikesan bergiat aktif sejak awal September lalu itu, dipercayai menjadikan Lembah Klang sebagai lokasi pengedaran selain pasaran luar negara terutamanya negara Eropah, menggunakan mata wang Euro.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan negatif daripada sebarang jenis dadah, namun empat daripadanya masing-masing memiliki 18, lapan, enam dan tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Hussein berkata kesemua suspek warga tempatan itu masing-masing ditahan reman antara 4 hingga 19 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA