ad

KDEBWM sumbang RM500,000 sokong pembangunan bola sepak Selangor

13 Okt 2025, 3:40 AM
KDEBWM sumbang RM500,000 sokong pembangunan bola sepak Selangor

SHAH ALAM, 13 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan bola sepak negeri apabila menyalurkan sumbangan RM500,000 kepada Selangor FC (SFC) sebagai penaja rasmi kategori Bronze Partner.

Menurut KDEBWM di Facebook, Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir, hadir mewakili syarikat pada Majlis SFC Partners Presentation Day 2025 yang diadakan bagi menghargai penaja dan rakan strategik pasukan tersebut.

“Majlis berprestij itu turut disempurnakan dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang berkenan beramah mesra bersama para penaja dan pemegang taruh utama bola sepak negeri,” katanya.

Selain meraikan sumbangan dan kerjasama strategik, acara berkenaan juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara sektor kerajaan, korporat, swasta dan komuniti bola sepak.

Penganjuran majlis itu turut mencerminkan semangat berpasukan, keghairahan sukan dan komitmen bersama untuk memperkukuh ekosistem bola sepak negeri Selangor.