KUALA LUMPUR, 12 OKT: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) menegaskan bahawa semangat solidariti global terhadap perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan dengan memastikan tumpuan dunia tidak teralih daripada krisis kemanusiaan yang parah di Gaza.
Pengarah Komunikasinya Tengku Ain Tengku Abdullah berkata keberanian para aktivis dan sukarelawan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) wajar dihargai, namun semangat itu harus disalurkan kepada usaha yang lebih berterusan dan bermakna untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.
“Dalam beberapa minggu ini, perhatian dunia telah disorot kepada misi berani seperti GSF. Kisah-kisah keberanian aktivis, termasuk sukarelawan Malaysia yang menempuh risiko demi membawa bantuan telah menghiasi media. Kita raikan semangat solidariti ini.
“Namun, semangat yang sama perlu kita salurkan untuk memastikan fokus utama tidak tergelincir iaitu kepada Gaza dan krisis kemanusiaan yang mendalam di sana. Misi-misi ini adalah pemangkin, tetapi tumpuan hakiki kita mesti kekal pada usaha pemulihan dan kelangsungan hidup rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata misi flotila yang secara langsung mencabar sekatan ke atas Gaza menjadi simbol keazaman kemanusiaan dan peringatan tegas tentang kepungan berterusan yang menjadi punca utama penderitaan rakyat Palestin di wilayah itu.
“Kisah aktivis yang ditahan dan mengalami kesulitan seharusnya tidak hanya menjadi berita sensasi, tetapi menjadi penggerak untuk kita bertindak. Ia mengalihkan perbualan daripada sekadar “perjuangan aktivis” kepada “keperluan mendesak rakyat Palestin di Gaza”.
“Kita mesti menggunakan momentum ini untuk membina naratif positif tentang ketabahan dan bagaimana dunia boleh membantu memulihkan maruah mereka,” katanya.
Mengulas mengenai peranan organisasinya, Tengku Ain berkata Mahar kekal berpegang kepada prinsip bahawa keberkesanan bukan bergantung pada skala bantuan, tetapi pada komitmen yang konsisten.
“Di Mahar, kami berpegang kepada falsafah bahawa keberkesanan terletak pada komitmen yang berterusan, bukan hanya pada skala.
“Kami memastikan fokus utama kami tidak teralih: Walaupun sedikit, Mahar tetap fokus dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza. Inilah cerminan semangat “Sumud” (ketekunan) yang menjadi tunjang kepada setiap usaha kami,” katanya.
Beliau berkata bantuan berterusan yang disalurkan termasuk makanan, air bersih dan ubat-ubatan adalah penting untuk menjamin kelangsungan hidup di samping menyokong projek-projek pemulihan jangka panjang seperti pendidikan dan perlindungan anak yatim serta golongan rentan.
Tengku Ain turut menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati dalam memperjuangkan kebajikan rakyat Palestin di Gaza dan menggunakan semangat GSF sebagai pemangkin untuk tindakan kemanusiaan yang lebih besar.
“Kekalkan Gaza di landasan utama. Marilah kita buktikan bahawa Malaysia berdiri teguh di belakang rakyat Palestin di Gaza. Jangan biarkan fokus kita beralih. Gunakan semangat GSF ini sebagai loncatan untuk tindakan yang lebih besar dan berpanjangan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap sumbangan sekecil mana pun, membawa makna yang besar bagi kehidupan penduduk Gaza.
“Apa yang anda boleh lakukan sekarang, sumbangan berterusan: Ingat, setiap bantuan adalah langkah kehidupan. Salurkan sumbangan anda melalui organisasi yang dipercayai.
“Mengambil tahu dan menyebar kesedaran. Pastikan perkongsian anda di media sosial adalah mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, bukan hanya tentang berita-berita lain yang mungkin mengalih perhatian. Kongsikan kisah-kisah harapan dan keperluan pemulihan,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menegaskan bahawa matlamat utama perjuangan kemanusiaan ini kekal - memastikan rakyat Palestin mencapai kebebasan dan kehidupan yang bermaruah.
“Gaza berhak mendapat kehidupan yang aman dan bermaruah. Dengan semangat perpaduan yang mendalam, kita akan terus berjuang untuk memastikan setiap sumbangan dan fokus kita menyumbang kepada kemanusiaan, keadilan dan masa depan yang lebih cerah buat rakyat Palestin.
“Matlamat utama kita kekal teguh: Melihat Palestin, termasuk Gaza mencapai kemerdekaan yang mutlak dan berkekalan. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” katanya.