PETALING JAYA, 12 OKT: Selangor menjangka pertambahan kes demensia atau nyanyuk susulan pertambahan warga emas dan juga faktor negara menua, kata EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin.
Jelasnya, pertambahan ketara warga emas di kawasan bandar utama seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya mencatatkan lebih 10 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas.
Justeru, tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Bandar Penjagaan Inklusif pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dapat membantu menangani masalah itu dengan lebih baik.
“Demensia salah satu isu kesihatan awam utama di seluruh dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih daripada 55 juta orang di seluruh dunia hidup dengan demensia, dan angka ini dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2050.

“Saya sangat gembira apabila MBPJ mempromosikan topik tentang kesedaran awam berkaitan dengan apa yang boleh kita lakukan, bagaimana kita mahu mengendalikan isu berkaitan demensia.
“Saya yakin dengan pelan tindakan (Bandar Penjagaan Inklusif) berkaitan dengan warga emas ini, dan Selangor satu-satunya negeri yang telah menghasilkannya,” katanya selepas merasmikan program Hidup Bersama Demensia: Langkah dan Kesedaran anjuran MBPJ di Dewan BU 11, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM), Tan Sri Hasmah Abdullah dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan.
Tambah Jamaliah, bagi mendepani isu peningkatan demensia, Kerajaan Negeri akan memperbanyak jaringan sokongan kesihatan mental dan penjagaan untuk warga emas serta terus melaksana saringan kesihatan negeri.
“Kami percaya pembangunan negeri yang mampan tidak akan tercapai tanpa masyarakat sihat dari segi fizikal, mental dan sosial. Dalam isu kesihatan seperti demensia, pengetahuan dan empati masyarakat memainkan peranan yang signifikan.
“Pesakit demensia bukan hanya memerlukan rawatan perubatan, tetapi juga dokongan sosial, kefahaman keluarga dan perhatian komuniti. Kerjasama antara MBPJ dan ADFM membuktikan apabila sektor awam, swasta dan masyarakat berganding bahu, hasilnya jauh lebih berkesan dan bermakna,” katanya.
Pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selanngor (SIBS), MBPJ dipilih menjadi pihak berkuasa tempatan pertama dalam negeri yang melaksanakan pelan tindakan ekonomi penjagaan dengan melancar Bandar Penjagaan Inklusif.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pelan itu bagi menyokong Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri 2024–2030 yang relevan dilaksanakan kerana Petaling Jaya memiliki populasi mencecah lebih 2.3 juta, sekali gus menjadi antara kawasan padat dan membangun.