SUBANG JAYA, 12 Okt: Tiga premis makanan di sekitar Taman Puncak Jalil diarah tutup serta-merta selepas didapati tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan dan berpotensi mengancam kesihatan awam.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi Jabatan Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Operasi Pemeriksaan Premis Makanan bagi memastikan pematuhan terhadap Undang-Undang Kecil (UUK) Establishment Makanan 2007.
Menurut hantaran Facebook MBSJ, tindakan penutupan diambil di bawah UUK 62 selepas pemeriksaan mendapati tiga premis berkenaan dalam keadaan kotor dan tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Selain itu, Notis Tindakan Kompaun (NTK) turut dikeluarkan di bawah UUK 20 atas kesalahan tidak memasang perangkap minyak, serta di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan kerusi, meja dan gerai di kawasan awam sehingga menyebabkan halangan.
MBSJ menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha premis makanan yang mengabaikan kebersihan dan keselamatan pengguna.
“MBSJ menasihatkan semua pengusaha premis makanan agar sentiasa mematuhi peraturan dan memastikan tahap kebersihan berada pada tahap terbaik demi menjaga kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebersihan premis makanan di kawasan pentadbiran MBSJ berada pada tahap memuaskan.