HULU LANGAT, 11 OKT: Kerajaan Negeri terus memperkukuh sektor pertanian dan perikanan melalui pelbagai inisiatif yang disokong dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelestarian sumber makanan negeri.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim, berkata pelaksanaan projek berkaitan tanaman padi akan dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta (PPP) bagi bagi menangani masalah sistem saliran usang yang menjejaskan hasil pengeluaran.
“Permohonan sebanyak RM1.1 bilion telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan, menjadikan nilai keseluruhan projek RM2.2 bilion. Antara komponen utama ialah kelulusan dan rawatan tanah serta penambahbaikan sistem saliran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) peringkat Negeri Selangor di Taman Tasik Cempaka, Daerah Hulu Langat, hari ini.
Izham menjelaskan, inisiatif itu dijangka meningkatkan hasil padi di kawasan Barat Selangor, khususnya dari Kuala Selangor hingga Sabak Bernam, yang merupakan antara kawasan pengeluaran utama negeri.
Pada masa sama, sektor perikanan turut diberi perhatian apabila kerajaan memperkenalkan elaun RM300 kepada nelayan, selain bantuan berbentuk enjin, bot dan peralatan menangkap ikan di bawah Belanjawan 2026.
"Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban nelayan sedia ada, malah mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi industri perikanan sebagai satu bidang kerjaya yang berdaya maju," katanya.
Beliau menambah, komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memperkasa sektor asas seperti pertanian dan perikanan membuktikan usaha serius memastikan jaminan makanan dan ekonomi luar bandar Selangor terus kukuh.


