KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 terus mencuri tumpuan apabila penganjurannya kali ini disifatkan lebih meriah, interaktif dan bermanfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Program anjuran Kerajaan Negeri itu bukan sekadar platform perniagaan dan pelaburan, malah turut membuka peluang pekerjaan, memperluas rangkaian industri serta menjadi wadah sosial yang menyatukan komuniti tempatan dan antarabangsa.
Bagi pengunjung, Ahmad Zulfadhli Mohd Sapili, 35, SIBS 2025 merupakan inisiatif baik Kerajaan Negeri yang berjaya menarik pelbagai golongan untuk turut serta.

“Saya rasa ini satu inisiatif yang sangat bagus. Acara ini tak terhad kepada satu sektor sahaja, ada peluang untuk mereka yang mencari kerja, mahu membina rangkaian atau sekadar mengisi masa lapang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Diet Ideas Sdn Bhd, Masfara Wahidah Abdul Rahman berkata SIBS 2025 menonjolkan kepelbagaian ekosistem industri yang memberi ruang kepada peserta dan pengunjung membina hubungan baharu serta mendapat pendedahan luas.
“Ekspo ini merangkumi pelbagai sektor. Saya dapat berkenalan dengan ramai orang dan menemui reruai yang menawarkan penyelesaian praktikal untuk kehidupan seharian,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Taufeq Ahmad Zaki, 26, berkata SIBS 2025 bukan sahaja menarik dari segi jual beli, tetapi turut memperkukuh keterlibatan masyarakat dan antarabangsa.
“Banyak pilihan untuk membeli-belah dan berinteraksi dengan pelbagai latar belakang, termasuk pelawat luar negara. Kalau boleh, saya cadangkan acara ini diteruskan hingga malam supaya lebih ramai pekerja sempat datang,” katanya.

Sementara itu, pengunjung lain, Damia Sari Esma Dainal, 21, pula tertarik dengan kepelbagaian gerai makanan dan minuman yang menjadikan suasana lebih hidup dan mesra.
“Saya suka sebab banyak booth F&B dan suasana sangat meriah. Orang ramai boleh rasa pelbagai makanan serta minuman tempatan secara percuma, dan ini juga bantu naikkan bisnes usahawan tempatan,” jelasnya.
Penganjuran SIBS 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berlangsung selama empat hari, menghimpunkan pemain industri, pelabur dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung bagi memperkukuh ekosistem ekonomi serta memperkenal jenama Selangor di peringkat antarabangsa.




