KUALA LUMPUR, 12 OKT: Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 terus menjadi platform utama bagi membantu usahawan tempatan memperluas jaringan dan menembusi pasaran antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan pemain industri global.
Ketua Pegawai Pemasaran Capital Food Distributor Sdn Bhd Nisha Subra berkata pameran tahunan itu bukan sahaja menarik pengunjung tempatan, malah turut menerima kehadiran pelabur dan usahawan luar negara.

“Ramai pengunjung bukan hanya dari Malaysia, tetapi juga dari luar negara. Ini beri peluang kepada kami untuk berinteraksi dan bertukar pandangan dengan usahawan lain,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran DSR Taiko Berhad Erine Phang menzahirkan rasa bangga apabila produk tempatan diberi ruang untuk diketengahkan di pentas antarabangsa.

“Kami bangga dapat mewakili negara dan berkongsi produk tempatan kepada umum. Pameran seperti ini membolehkan pengunjung merasai sendiri hasil buatan Malaysia.
“Ekspo ini juga membuka peluang baharu yang lebih besar dalam dunia perniagaan,” jelasnya.
Selain pemain industri makanan dan produk tempatan, penyertaan agensi kerajaan serta syarikat teknologi turut menyerlahkan kepelbagaian sektor dalam SIBS kali ini.

Penolong Pegawai Perancang Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang Helmi Yazrin Abdul Halim berkata penglibatan pihak berkuasa tempatan bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai teknologi bandar pintar serta inisiatif komuniti digital.
“Ekspo ini jadi daya tarikan kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknologi baharu daripada vendor lain,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Projek KDEB Services Sdn Bhd, Ismail Faruqi Bahaman, berkata penyertaan mereka di SIBS membantu memperluas kefahaman masyarakat terhadap pengurusan sisa pintar selain menarik perhatian media terhadap usaha hijau yang dijalankan.

“Ekspo ini membuka mata ramai pihak dan memberi ruang kepada kami untuk berkongsi peranan serta teknologi yang digunakan dalam pengurusan sisa,” jelasnya.
SIBS 2025 yang berlangsung selama empat hari sejak 8 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi wadah penting Kerajaan Selangor memperkukuh ekosistem perniagaan, inovasi dan pelaburan di rantau ini.