SHAH ALAM, 11 OKT: Pengecualian cukai pendapatan yang diumum dalam Belanjawan 2026 menjadi suntikan semangat kepada penggiat industri pelancongan untuk memperhebat promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26).
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata langkah tersebut dijangka menarik lebih ramai pelabur menyertai sektor pelancongan negara selain meningkatkan aktiviti ekonomi domestik.

“Insentif berkenaan juga mendorong pengusaha sedia ada memperbaharui produk pelancongan serta menaik taraf kemudahan bagi meningkatkan daya tarikan destinasi tempatan.
“Lebih banyak mesyuarat dan persidangan antarabangsa akan diadakan di Malaysia, sekali gus merancakkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Suee Lim menambah, ejen tempatan juga dijangka menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik pada harga berpatutan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa sempena TMM26 tahun depan.
Antara intipati belanjawan semalam, kerajaan memperkenal pelepasan khas cukai pendapatan sehingga RM1,000 atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan, bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara.
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat memperuntukkan RM470 bilion, merangkumi RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk pembangunan.
Bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat, dokumen berkenaan berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI dan sembilan tekad utama, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan ke arah kebangkitan dan pembaharuan nasional menyeluruh.





