KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mempertimbangkan tindakan lanjut termasuk keperluan menutup sekolah sekiranya terdapat peningkatan penularan kluster influenza.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pertimbangan itu berdasarkan kes wabak berkenaan majoritinya dikesan berlaku di sekolah dan tadika.
Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah adalah tertakluk kepada bidang kuasa dan budi bicara KPM.
“Hal penutupan (sekolah) semua itu adalah KPM. Kami sentiasa memberikan panduan dan bimbingan untuk kalau yang bergejala tidak perlu hadir ke sekolah dan untuk lindung diri kita, pakai pelitup muka dan amalkan kembali kesemua SOP (prosedur operasi standard), (guna) cecair pembasmi kuman dan cuci tangan.
“Buat sementara ini kita pantau dan kalau perlu, saya akan berbincang pastinya dengan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) sama ada untuk tindakan selanjutnya diperlukan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di lobi Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata sebanyak 97 kluster influenza telah direkodkan setakat Minggu Epidemiologi (ME) 40, dengan majoriti kluster melibatkan sekolah dan tadika yang dikesan daripada sistem surveilan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARS).
“Kluster influenza melonjak kepada 97…kalau kita banding dengan minggu sebelumnya, ia satu peningkatan dan majoritinya pula berada di sekolah dan tadika. Ini yang Menteri Fadhlina sebutkan dengan saya tadi, untuk kita benar-benar beri tumpuan kepada sekolah dan juga tadika kita,” katanya sambil menambah kebanyakan kes yang dilaporkan adalah ringan dan boleh pulih sendiri.
Beliau berkata pesakit digalakkan untuk berehat dan minum air secukupnya serta mengamalkan kesemua SOP.
Semalam, KKM dalam kenyataan memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada ME 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM, semua negeri melaporkan peningkatan termasuk lima negeri tertinggi iaitu Selangor sebanyak 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5).
- BERNAMA