ad

Belanjawan 2026 perkukuh ekonomi, pendidikan, kesihatan, pacu kemajuan Selangor

10 Okt 2025, 12:14 PM
Belanjawan 2026 perkukuh ekonomi, pendidikan, kesihatan, pacu kemajuan Selangor
Belanjawan 2026 perkukuh ekonomi, pendidikan, kesihatan, pacu kemajuan Selangor

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Selangor menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pembangunan sosioekonomi negeri serta negara secara keseluruhan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata belanjawan bertemakan Belanjawan Rakyat itu memperlihatkan komitmen kerajaan persekutuan dalam memperkukuh sektor ekonomi baharu, pendidikan dan kesihatan awam.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya menerima dengan amat positif pengiktirafan terhadap Selangor Aero Park bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang akan memposisikan Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), logistik dan kargo serantau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa ini, Selangor adalah penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan sumbangan sekitar 26 peratus, yang membuktikan kekuatan ekonomi negeri.

Belanjawan 2026 yang dibentang Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini turut secara khusus menyediakan peruntukan untuk program tebatan banjir termasuk di Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh Fasa 2.

Amirudin turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan persekutuan yang terus memberi tumpuan terhadap isu perubahan iklim dan pengurusan bencana banjir melalui peruntukan untuk program tebatan banjir, termasuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2.

"Perhatian penting diberikan kepada usaha menangani impak perubahan iklim dan bencana banjir, khususnya menerusi kesinambungan projek RTB di seluruh negara, termasuk RTB Sungai Buloh Fasa 2 yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat Selangor," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion pada tahun hadapan sebagai langkah proaktif menangani cabaran kos sara hidup rakyat.

"Aspek kesihatan awam turut diperkukuh melalui inisiatif mempertingkatkan fungsi klinik kesihatan dengan menambah perkhidmatan pakar bagi mengurangkan kesesakan hospital awam sekali gus mempertingkatkan kecekapan sistem kesihatan negara," katanya.

Mengenai sektor pendidikan, Amirudin menyifatkan peningkatan peruntukan pendidikan daripada RM64.2 bilion kepada RM66.2 bilion sebagai langkah tepat dalam melahirkan generasi muda berilmu dan berdaya saing.

"Selaras dengan kepercayaan potensi generasi muda hanya dapat diperkasa melalui pendidikan berkualiti, saya menyambut baik pembinaan sembilan sekolah baharu di Selangor.

"Antaranya SK Alam Suria dan SMK Eco Grandeur di Kuala Selangor, SK Puchong Permai, SK Taman Desa (3) di Rawang, SMK Kota Kemuning (2), SMK Setia Alam (2) di Shah Alam, SMK Cyberjaya (2) dan SMK Bukit Puchong di Sepang serta SK Pendidikan Khas Kota Damansara," jelasnya.

Beliau berkata, Belanjawan 2026 menunjukkan keselarasan antara dasar pembangunan nasional dan agenda negeri ke arah menjadikan Selangor sebagai peneraju kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

"Saya yakin belanjawan rakyat ini menterjemahkan keperluan nasional semasa dengan mengambil kira cabaran global masa kini, dan percaya strategi ini akan memelihara kepentingan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat pada tahun hadapan," ujarnya.