SHAH ALAM, 10 OKT: Lebih RM700 juta diperuntuk dalam Belanjawan 2026 bagi merancakkan sektor pelancongan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Daripada jumlah itu, Anwar berkata RM25 juta diperuntuk bagi menambah baik kemudahan pelancongan termasuk memulihara tapak Unesco di Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, Lembah Lenggong, Perak dan FRIM Forest Park, Selangor.
Selain itu, RM500 juta untuk menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 selain RM60 juta untuk dana galakan promosi, pemasaran dan penganjuran acara pelancongan serta aktiviti kebudayaan.
“RM50 juta untuk menyokong pengusaha seni dan warisan menjana pendapatan seperti penggiat karya kraf, batik dan tenunan serta RM50 juta geran padanan bagi menggalakkan penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia.
“MAHB berjaya menarik 10 syarikat antarabangsa ke Malaysia, seperti British Airways, Hong Kong Express dan Jiangxi Air,” katanya ketika membentang Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata RM20 juta lagi diperuntuk untuk mempergiat program pelancongan kesihatan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.
Pada 11 Julai, Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 yang berlangsung di Paris dari 6 hingga 16 Julai mengiktiraf FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia.
Lima Tapak Warisan Dunia Unesco lain di Malaysia ialah Taman Kinabalu, Taman Negara Gunung Mulu, Bandar Bersejarah Melaka dan George Town, Lembah Lenggong dan Warisan Arkeologi Gua Niah.
Belanjawan 2026 mengangkat tema ‘Belanjawan Madani Keempat: Belanjawan Rakyat’ merupakan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.