SEREMBAN, 10 OKT: Polis menahan seorang pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya selepas disyaki mencabul murid perempuan tahun tiga di tandas sebuah sekolah di Rembau, Selasa lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima laporan daripada ibu mangsa mendakwa anaknya berusia sembilan tahun dirogol ketika ke tandas sekolah pada 9.36 pagi hari sama.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun siasatan mendapati tiada unsur rogol berlaku. Mangsa dicabul ketika berada di tandas sekolah itu.
“Susulan itu, seorang wanita 22 tahun yang merupakan pengawal keselamatan sekolah itu dan teman lelakinya berusia 25 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dua suspek itu direman sehingga 14 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
- BERNAMA