ad

Pelekat tulisan Hebrew: Pemilik kenderaan dakwa tampal sejak 2012

9 Okt 2025, 3:11 PM
Pelekat tulisan Hebrew: Pemilik kenderaan dakwa tampal sejak 2012

MELAKA, 9 OKT: Pemilik kenderaan pacuan empat roda yang tular kerana menampal pelekat bertulisan Hebrew di bahagian belakang kenderaannya menjelaskan pelekat itu dibuat kerana minat terhadap tulisan berkenaan, kata Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Beliau berkata lelaki berusia 59 tahun itu yang merupakan pesara kerajaan mendakwa pelekat tulisan Hebrew yang membawa maksud 'Malaysia Rumahku' telah ditampal pada kenderaan jenis Isuzu miliknya sejak 2012 dan tidak pernah menimbulkan sebarang isu sebelum ini.

Dzulkhairi berkata pesara itu yang menafikan menyokong Israel membuat laporan di Balai Polis Air Kuning Selatan, Gemencheh, Negeri Sembilan kira-kira 8 malam pada Selasa selepas video kenderaannya tular di platform media sosial 'Thread' dan menerima pelbagai reaksi negatif netizen.

"Tulisan Hebrew itu didakwa diolah daripada ayat asal 'Israel Rumahku' dan lelaki berkenaan mendakwa tidak mempunyai apa-apa mesej yang ingin disampaikan kepada Israel.

"Beliau mengaku seorang yang patriotik serta peminat pelbagai jenis tulisan asing seperti Rusia, Greek dan Hebrew. Pelekat itu ditempah di sebuah kedai di Selangor pada 2012 selain kenderaan itu kerap digunakan oleh adiknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata polis akan mendapatkan bantuan termasuk pakar bahasa untuk memastikan maksud sebenar frasa berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 504(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan setakat ini tiada arahan kepada lelaki itu untuk menanggalkan pelekat berkenaan.

Media semalam melaporkan polis sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kenderaan pacuan empat roda yang didakwa menampal pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud 'Malaysia adalah Rumah Kita' atau 'Malaysia di Tangan Kami'.