KUALA LUMPUR, 9 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus mengukuhkan reputasinya sebagai pemaju terkemuka di Malaysia dengan pencapaian membanggakan apabila meraih tujuh anugerah berprestij di PropertyGuru Asia Awards Malaysia with iProperty 2025.
PKNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, projek Galeria SA Sentral meraih dua anugerah utama, iaitu Best of Malaysia: Design Category dan Best Sales Gallery Design.
Selain itu, Residensi Aludra turut dinobatkan sebagai Best Townhouse Development, manakala Linkar 52 memenangi Best Transit-Oriented Development (TOD).
PKNS turut menerima People’s Choice Award -Top 10 Developers, hasil undian orang ramai selain Anugerah ESG bagi kategori Low Carbon Champion dan Sustainable Design Champion.
“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen PKNS dalam memperkasakan pembangunan yang berdaya tahan, rendah karbon dan berorientasikan kelestarian, seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim),” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pencapaian yang diraih turut menonjolkan pendekatan strategik PKNS dalam mengintegrasikan prinsip hijau dan lestari dalam setiap fasa perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projeknya.
"PKNS percaya reka bentuk landskap dan seni bina berkualiti mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti serta memberi sumbangan positif terhadap usaha kelestarian, khususnya dalam memelihara dan memperkaya biodiversiti bandar," menurut kenyataan itu.
Menurut PKNS setiap pengiktirafan yang diterima merupakan bukti nyata kepada usaha berterusan Perbadanan dalam mencipta komuniti mampan yang selari dengan misi untuk membentuk persekitaran kehidupan yang vibran dan lestari melalui inovasi berterusan, penyampaian perkhidmatan melangkaui jangkaan serta pembangunan modal insan yang komited dan kompeten.
Mengenai pengiktirafan dicapai Residensi Aludra di Cyber Valley, PKNS menyatakan ia membuktikan keunggulan reka bentuk moden dan kemewahan projek berkenaan selain menawarkan kemudahan fasiliti serba lengkap yang memenuhi gaya hidup masa kini.
Bagi Linkar 52, kejayaannya menunjukkan kemampuan PKNS membangunkan pangsapuri servis terbaik di lokasi strategik di Bandaraya Shah Alam yang menggabungkan aspek hab komersial moden dengan infrastruktur sekeliling serta akses mudah kepada pelbagai kemudahan dan fasiliti, sekali gus menjadikannya lokasi ideal.
Kejayaan ini menandakan kali ketiga PKNS diiktiraf dalam anugerah berprestij berkenaan sejak penyertaannya pada 2023 sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam industri pembangunan hartanah tempatan.
Pada edisi tahun lepas, PKNS memenangi dua anugerah menerusi projek Ixora di Antara Gapi serta People’s Choice Award melalui undian orang ramai.