KUALA LUMPUR, 9 OKT: Selangor bakal memainkan peranan utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir berikutan mampu menawarkan 15,000 peluang pekerjaan sebagai jurutera dalam bidang semikonduktor.
Dato’ Menteri Besar berkata kejayaan itu merupakan sebahagian daripada komitmen negeri dalam menyokong Strategi Semikonduktor Negara yang menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.
“Tahun ini, Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) melangkah lebih jauh dengan penganjuran Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian AI x Semiconductor Blitzscaling Malaysia's Deep Tech di Hotel Grand Hyatt, di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang empat hari penganjuran, lebih 30 majikan global dan tempatan akan menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan,
Kerjaya terbabit, menurut beliau merangkumi latihan industri, pengambilan graduan baharu serta jawatan jurutera berpengalaman, termasuk peluang temu duga secara serta-merta.
“Ini peluang terbaik kepada jurutera muda dan profesional untuk membina masa depan mereka di Selangor,” katanya.
Amirudin juga yakin sasaran melahirkan 15,000 jurutera atau 25 peratus daripada keperluan nasional itu akan dapat direalisasikan dengan kerjasama pelbagai industri, institusi pendidikan dan agensi pembangunan negeri.