ad

Sidang kemuncak antarabangsa Selangor iktiraf wira penjagaan

9 Okt 2025, 1:01 PM
Sidang kemuncak antarabangsa Selangor iktiraf wira penjagaan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Penganjuran Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) yang julung kali diadakan menjadi ruang untuk golongan penjaga menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata sidang yang turut menyelitkan sesi libat urus bersama pelbagai pihak itu turut berperanan sebagai platform menghargai mereka.

“Kita harus mengakui, sebalik setiap keluarga yang sihat dan masyarakat yang sejahtera, ada penjaga yang menjadi tulang belakang, mendokong sama ada jururawat, pekerja sosial atau ahli keluarga sendiri.

“Mereka inilah wira yang sering tidak kelihatan, namun pengorbanan dan sumbangan mereka amat besar nilainya.

“Sebab itu Kerajaan Selangor meluncurkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor pada November 2024 dengan misi menjadikan negeri sebagai hab sektor penjagaan, peneraju inklusif, mapan dan berdaya tahan,” kata Siti Faridah Abdul Samad.

Beliau berkata demikian ketika program Care Townhall bertemakan ‘Mengiktiraf Tulang Belakang Yang Tidak Kelihatan: Memperkasa Penjaga Selangor’ yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) hari ini.

“Setakat 2024, dilaporkan seorang daripada lima penduduk Malaysia terdiri daripada kanak-kanak bawah 15 tahun atau warga emas berusia 65 tahun ke atas.

“Kedua-dua ini merupakan kumpulan yang memerlukan penjagaan. Kedua-dua situasi ini jelas meningkatkan keperluan kepada ekonomi penjagaan yang lebih menyeluruh dan mampan,” katanya.