SHAH ALAM, 2 OKT: Penganjuran Sidang Kemuncak Penjagaan Selangor (SICS 2025) dijangka mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan penjagaan (care tourism) terkemuka di rantau Asia.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata potensi itu mampu direalisasikan sekiranya Selangor menawarkan pendekatan menyeluruh dengan kemudahan dan khidmat penjagaan bertaraf dunia.
“Negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja juga berdepan isu penjagaan. Jika Selangor dapat menyediakan alternatif secara komprehensif, negeri ini berupaya menjadi pilihan utama rantau ini.
“Kita sudah ada beberapa pusat penjagaan yang diusahakan pihak swasta. Melalui penganjuran SICS 2025, kita mahu memperkukuh potensi ini sekali gus menjadikan Selangor hab ekonomi penjagaan Asean,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Anfaal turut memaklumkan Selangor berhasrat menjalin kerjasama dengan Kementerian Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas) Indonesia bagi membuka peluang latihan industri kepada tenaga kerja sektor penjagaan di negeri ini.
“Sekiranya negara luar berminat menghantar petugas mereka menjalani latihan di sini, kita perlu menyediakan amalan terbaik termasuk modul latihan dan pensijilan,” katanya.
Sidang Kemuncak Penjagaan Selangor (SICS) 2025 yang julung kali dianjurkan itu dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sidang berkenaan ini diadakan seiring dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), menampilkan pelbagai pengisian termasuk forum, persidangan, padanan perniagaan dan sesi libat urus.






