ad

RM1.2 bilion projek kerjasama awam-swasta pacu ekonomi Petaling Jaya

9 Okt 2025, 12:05 PM
RM1.2 bilion projek kerjasama awam-swasta pacu ekonomi Petaling Jaya
RM1.2 bilion projek kerjasama awam-swasta pacu ekonomi Petaling Jaya
RM1.2 bilion projek kerjasama awam-swasta pacu ekonomi Petaling Jaya

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meluluskan sembilan projek kerjasama awam-swasta (PPP) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM1.2 bilion dari Januari sehingga September tahun ini.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata ia merangkumi pembangunan pangsapuri perkhidmatan, tempat letak kereta, medan selera dan pusat sukan, projek agro bandar (PJ Food Valley), kemudahan perkuburan dan ruang perniagaan.

“Projek ini kita laksanakan adalah untuk komuniti seperti kolaborium dan tempat letak kereta yang memang menjadi aduan besar komuniti terutamanya. Jadi sebab itu kita santuni.

“Kita telah mendapatkan kerjasama pihak swasta dan telah bincangkan perkara ini, peringkat jawatankuasa teknikal dan sebagainya,” katanya.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berucap sempena majlis penghargaan pelaburan serta peluncuran Garis Panduan Tatacara dan pertukaran Memorandum Persefahaman pelaksanaan Projek Kerjasama Awam-Swasta di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas majlis penghargaan pelaburan Petaling Jaya, peluncuran Garis Panduan Tatacara dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) pelaksanaan Projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Berucap pada majlis itu, Mohamad Zahri berkata Garis Panduan Tatacara Pelaksanaan Projek PPP merupakan inisiatif pelaburan MBPJ, yang dirangka khusus bagi memastikan semua projek PPP dilaksanakan berlandaskan prinsip telus, bertanggungjawab dan mengambil kira nilai untuk wang (value for money).

“MBPJ merakamkan penghargaan kepada semua rakan industri, agensi dan pelabur atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda pembangunan mampan dan inklusif.

“Di bawah bimbingan Kerajaan Negeri, MBPJ akan terus memperkukuh sinergi sektor awam dan swasta bagi menjadikan Petaling Jaya sebagai destinasi pelaburan utama di Selangor dan Malaysia,” katanya.

SIBS menawarkan lebih 700 reruai kepada pemain industri sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.

Sidang tahunan yang dianjur sejak 2015 memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali Pameran Udara Selangor.