ad

MOTAC akui silap, ambil tanggungjawab isu arak pada majlis gala

9 Okt 2025, 6:01 AM
MOTAC akui silap, ambil tanggungjawab isu arak pada majlis gala
MOTAC akui silap, ambil tanggungjawab isu arak pada majlis gala

SHAH ALAM, 9 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil tanggungjawab dan mengakui kesilapan susulan kontroversi hidangan arak dalam satu majlis, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan acara Global Travel Meet 2025 Gala Dinner itu dianjur pihak swasta pada saat akhir.

"Saya buat kesilapan kerana logo di sana masih tunjuk (tertera) Tourism Malaysia, bawah (dalam dewan) semua pemain industri. Acara makan malam itu bukan rasmi, ia adalah acara 'private'. (Jadi) pekeliling tidak terpakai dan isu minimum beralkohol tak sepatutnya timbul.

"Namun saya dan MOTAC dengan penuh tanggungjawab mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan segala kesulitan. Segala yang timbul amat dikesali," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung garis panduan larangan hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan yang dianjurkan kementerian.

King Sing turut mengakui sepatutnya menukar 'backdrop' (tirai latar) di pentas utama yang tertera logo Tourism Malaysia kepada logo penganjur swasta.

Beliau juga menggesa masyarakat supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan perkauman, membuat tuduhan melulu atau mengheret isu berkenaan ke perdebatan politik.

“Perdana Menteri bagi nasihat, kita terima. Saya kata, kita jangan ulang main politik, tuduh dan (kononnya) hina orang Islam. Kita tak hina, dalam apa anjuran kita, memang tak ada alkohol di atas meja," katanya.

Terdahulu, tular gambar kontroversi memaparkan program Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang dihadiri King Sing menyajikan hidangan minuman beralkohol kepada tetamu.